Wednesday, February 18, 2009

Takziah buat Siti sekeluarga...


Gurauan terakhir masih terngiang-ngiang di telinga menyebabkan Siti Nurhaliza amat terasa kehilangan bapanya

AIR matanya tidak putus-putus mengalir membasahi pipinya yang gebu. Kadang-kadang kelihatan seperti hilang punca. Begitulah keadaan Datuk Siti Nurhaliza kerana kehilangan bapanya, Tarudin Ismail, 67, yang meninggal dunia kerana sakit jantung.

Siti yang matanya agak kemerahan kerana digenangi air mata, pada mulanya seperti susah hendak mengeluarkan kata-kata. Bukan kerana tidak mahu ditemu bual tetapi mungkin kerana terlalu hiba.

Biar berdepan dengan situasi getir, sebelum pembedahan dijalankan, bapanya saling mengusik mereka sekeluarga seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku. Usikan dan gurauan itu masih segar dalam kenangan Siti.

“Seperti biasa, abah sempat bergurau sebelum dia ke bilik pembedahan. Malah abah ada cakap kepada Siti, dia belum mati lagi dan tak perlu menangis.

“Kami juga sempat mengusik sesama sendiri untuk mengajaknya pergi memancing selepas ini kerana abah memang gemar melakukan aktiviti itu.


“Tapi Tuhan lebih sayangkannya dan kehilangan abah dalam sekelip mata, tiba-tiba. Itu yang sedikit sebanyak membuatkan Siti terkilan dan berasakan kehilangannya,” katanya dalam nada sebak sambil memberitahu mereka sempat berbisik ke telinga Allahyarham selepas menjalani pembedahan dan tidak sedarkan diri.

Apabila keadaan menjadi semakin tenang, penyanyi itu berkata, sebelum pembedahan dilakukan, bapa dan emaknya kelihatan berbelah bagi terutama apabila doktor yang merawatnya berterus terang bahawa peluang dan risiko yang diambil hanyalah lima peratus.

“Abah sendiri bertanyakan pendapat kami, malah selepas diyakinkan oleh doktor yang bertugas, dia sendiri yang menandatangani borang kebenaran melakukan pembedahan itu,” katanya.

Kata Siti, mereka juga ramai-ramai membacakan Yasin dan berselawat. Menurutnya, sepanjang hari kelmarin, ruang wad hospital dipenuhi dengan keluarga dan saudara maranya. Ketika bapanya berada di dalam keadaan kritikal, seluruh insan yang menyayanginya berada dekat untuk menatap wajahnya di tepi katil.


 
blog design by suckmylolly.com

Template Modified and Brought to you by : AllBlogTools.com blogger templates